Selangor peruntuk RM1 juta bantu individu alami tekanan

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak RM1 juta untuk membantu individu yang mengalami tekanan perasaan dan isu berkaitan menerusi Program Selangor Mental Sihat (Sehat).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah RM500,000 diperuntukkan untuk melengkapi vertikal kesihatan aplikasi SELangkah bagi memudahkan akses orang ramai.

Menurutnya, sistem tersebut membantu rakyat Selangor mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri sebagai langkah pencegahan awal.

"Peningkatan kes buli siber baru-baru ini amat dikesali dan usaha meningkatkan kesedaran isu kesihatan mental harus lebih dipergiatkan.

"Namun, isu ini memerlukan penglibatan oleh semua pihak. Hentikan amalan pembulian di dalam masyarakat kita," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, program Sehat turut menyediakan Bantuan psikososial daripada kaunselor profesional dan forum sokongan menerusi pelbagai komponen.

Beliau turut menyeru rakyat Selangor untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan dalam program tersebut.

"Kesihatan mental sangat penting dalam pembangunan sahsiah serta dapat menyumbang kepada produktiviti dalam kehidupan kita," katanya.