Kecewa MSRM lambat bertindak, mangsa buli dituduh pelaku

Gambar kiri: Nazrah Mohamed mendedahkan kes buli di MRSM Kuantan. Gambar kanan: Antara nota tulisan tangan yang dimuat naik dalam hantaran di Facebook miliknya.
Gambar kiri: Nazrah Mohamed mendedahkan kes buli di MRSM Kuantan. Gambar kanan: Antara nota tulisan tangan yang dimuat naik dalam hantaran di Facebook miliknya.
A
A
A

KUANTAN - Ibu bapa kepada pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli pelajar senior di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan menuntut institusi itu mengesan segera pelaku dan mengenakan tindakan tegas.

Nazrah Mohamed mendedahkan kes buli membabitkan anak perempuan di laman sosial Facebook yang dikatakan bermula sejak Jun lalu dan berlarutan sehingga Jumaat.

Menurutnya, kes sebegini perlu ditangani segera kerana ia melibatkan sentuhan badan dan ia bukan lagi perbuatan khianat tetapi kes jenayah yang semakin menjadi-jadi di dalam MSRM Kuantan.

“Saya masih tidak nampak penyelesaian malah kes semakin menjadi-jadi dan bertambah serius apabila anak kami dan beberapa pelajar lain berterusan menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism. Sebagai ibu bapa kami tidak boleh berdiam diri.

“Pihak MRSM Kuantan begitu lembab dalam mengambil tindakan dan menyiasat perkara ini. Sikap acuh tak acuh pihak Pengurusan MRSM Kuantan tidak boleh diterima sama sekali!

“Kes-kes masih berulang dan sehingga hari ini telah melibatkan sentuhan badan body. Adakah pihak MRSM Kuantan nak tunggu sehingga ada kehilangan nyawa baru nak bertindak?,” soalnya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya pada Jumaat.

Dia menjelaskan, pihak Mara juga lambat bertindak dalam memberikan maklum balas walaupun aduan telah dibuat.

“Pengetua, Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar (TPPP), Yang Dipertua (YDP) Muafakat, Naib Yang Dipertua Muafakat dan sebahagian Exco Muafakat MRSM Kuantan lambat bertindak dan mengambil sambil lewa kes-kes yang berlaku di dalam maktab ini. Mungkin kesemua mereka menunggu sehingga ada kematian baru nak bertindak!

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak maktab dan Mara masih lambat bertindak,” katanya.

Surat maklum balas yang diterima oleh Nazrah susulan aduan buli terhadap anaknya dibuat kepada KPM dan Mara.
Surat maklum balas yang diterima oleh Nazrah susulan aduan buli terhadap anaknya dibuat kepada KPM dan Mara.

Dalam pada itu, Nazrah turut mendedahkan kronologi kes membabitkan anaknya dikatakan bermula pada 17 dan 19 Jun lalu, apabila pakaian seragam sekolah anaknya berwarna biru dijumpai di ampaian telah diconteng dan pakaian berwarna kuning diconteng di bahagian lengan.

“Pada 20 Jun, saya telah menelefon Ketua Warden untuk mendapatkan maklum balas kes tersebut malangnya Ketua Warden terkejut dan tidak mengetahui perkara tersebut.

"Setelah disemak, pelajar senior mengakui mereka cuba menyelesaikan sendiri kes tersebut. Jadi persoalan di sini, adakah ini prosedur MRSM untuk kes-kes serius seperti ini membiarkan pelajar senior handle sendiri tanpa memaklumkan kepada warden?

“Selang dua hari selepas itu, saya menghubungi sekali lagi Ketua Warden, namun dimaklumkan mereka masih tidak dapat mencari pelaku,” katanya.

Nazrah juga memaklumkan pada 26 Jun, pakaian seragam dan pakaian pendidikan jasmani anaknya telah diconteng. Dalam masa yang sama, anaknya turut mengesan dinding tandas juga diconteng dan semua perkara itu telah dimaklumkan kepada pelajar senior.

Menurutnya, susulan aduan itu anak perempuannya dipanggil oleh lima warden MSRM Kuantan dan dipaksa supaya mengaku bahawa semua perbuatan itu dilakukan olehnya.

Tambah Nazrah, anaknya adalah mangsa dan melaporkan semua kejadian kepada pelajar senior, namun ia berlaku sebaliknya apabila anaknya didakwa sebagai pelaku oleh pihak MRSM Kuantan.

“Pada 14 Julai, saya menghubungi TPPP untuk bertanyakan perkembangan kes-kes tersebut. Sebaliknya TPPP maklumkan anak saya telah dirujuk kepada kaunselor sekolah dan mengalami anxiety dan mempunyai stres level tinggi berdasarkan perbualan anak saya bersama-sama kaunselor. TPPP juga menyatakan anak saya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.

“Saya kemudian mengambil anak pulang ke rumah pada 15 Julai dan pada 17 Julai, saya telah membawa anak berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak untuk memastikan tahap kesihatan mentalnya.

“Berdasarkan klinikal temu bual, doktor menyatakan anak kami sihat dan tiada ciri-ciri anxiety, depresi dan stres seperti yang digambarkan oleh TPPP. Doktor juga mencadangkan agar anak kami menjalani ujian-ujian tertentu untuk mengesahkan tahap kesihatan mentalnya.

“Doktor juga mengambil kenyataan daripada anak saya dan perkara yang diceritakan oleh anak saya kepada doktor adalah konsisten sama seperti yang diceritakan kepada kami,” ujarnya.

Menurut Nazrah, berdasarkan keputusan tersebut, satu pertemuan telah dilakukan bersama pentadbir dan pengurusan MRSM Kuantan.

Jelasnya, hasil pertemuan itu, pengetua MRSM Kuantan mengakui terdapat kesilapan dari pihaknya dalam menjalankan siasatan berhubung kes-kes tersebut sehingga anaknya dipersalahkan.

Namun katanya, kenyataan daripada pentadbir sekolah seperti pengetua, TPPP, warden dan kaunselor MSRM juga tidak konsisten berhubung kes itu.

“Pada 22 Julai, kami telah membuat laporan polis terhadap pihak maktab ke atas kes-kes yang berlaku melibatkan anak kami setelah tidak mendapat jalan penyelesaian semasa pertemuan dengan pihak pengurusan maktab.

“Kami telah memfailkan aduan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memandangkan Mara adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Kami sangat kecewa dengan maklum balas itu kerana siasatan berat sebelah dan anak kami tidak dipanggil untuk memberi keterangan. Maklum balas Mara juga berbeza dengan kenyataan Pengetua yang mana Mara memaklumkan pihak maktab telah mengikut prosedur yang betul tetapi Pengetua mengakui kesilapan di pihak maktab ketika siasatan dijalankan,” katanya.

Nazrah memaklumkan sehingga Jumaat lalu anaknya masih dibuli apabila rambutnya bersama dua rakan biliknya digunting pendek ketika mereka tidur.

“Anak kami dan pelajar terlibat terus memaklumkan kepada senior dan senior seterusnya maklumkan kepada warden. Kami juga maklumkan perkara ini kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes dan menasihatkan pihak maktab membuat laporan polis.

“Sehingga saat ini, kami masih menunggu perkembangan terkini dari pihak maktab dan pihak polis,” katanya.