Niaga hadapan FBM KLCI dijangka diniagakan tinggi minggu depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KONTRAK niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan, menjejaki prestasi kadar asas pasaran tunai.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras itu gagal menembusi paras rintangan 1,510 pada Jumaat walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2022 yang lebih kukuh daripada jangkaan disebabkan beberapa aktiviti pengambilan untung pada akhir dagangan malam.

"Kami berpendapat indeks penanda aras itu berkemungkinan akan bergerak dalam mod konsolidasi pada julat antara 1,500-1,515 minggu depan.

"Secara teknikal, kami melihat paras rintangan serta-merta pada 1,510 diikuti 1,530, manakala paras sokongan pada 1,480," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, Ogos 2022 dan Disember 2022 masing-masing naik 8.5 mata kepada 1,508.0, September 2022 menambah 8.0 mata kepada 1,496.5, manakala Mac 2023 meningkat 15.5 mata kepada 1,493.0.

Jumlah dagangan merosot kepada 29,853 lot daripada 35,029 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 43,487 kontrak daripada 40,357 kontrak.

Pada asas mingguan, indeks petunjuk pasaran naik 4.64 mata kepada 1,506.19 daripada 1,501.55 pada minggu sebelumnya. - Bernama