Sarawak perlu lebih ramai jurutera kimia

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Sarawak memerlukan lebih ramai jurutera kimia untuk menyokong industri petrokimia negeri, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kepakaran dalam bidang itu amat diperlukan di Sarawak dengan adanya dua cadangan pelaburan petrokimia di Bintulu.

"Terdapat dua cadangan pelaburan (masuk ke Sarawak) dengan setiap satu bernilai AS$6 bilion dan pelaburan ini berkaitan pengasingan gas dan ia adalah proses yang rumit.

"Justeru, dengan pelaburan akan datang ini kita memerlukan lebih ramai jurutera kimia di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Institusi Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Sarawak malam tadi.

Abang Johari juga menggesa IEM supaya dapat menarik minat belia megikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia.

"Sarawak juga mempunyai rizab gas yang baik, lebih 60 peratus daripada rizab gas Malaysia berada di Sarawak.

"Kita perlu menambah nilai kepada gas kita, kita tidak boleh lagi hanya mengeksport LNG (gas asli cecair). Banyak boleh diproses daripada gas kita dan untuk itu kita memerlukan ramai jurutera kimia,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, jurutera adalah pemain utama dalam merealisasikan wawasan Sarawak untuk mencapai ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting adalah untuk kita menaik taraf infrastruktur - jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air, kemudahan telekomunikasi, pengangkutan awam, pelabuhan dan lapangan terbang.

"Tanpa infrastruktur yang baik, kita tidak akan dapat mencapainya pada 2030,” katanya.

Abang Johari berkata, sebanyak 10,432 jurutera profesional mempunyai sijil amalan di Sarawak, manakala 9,465 lagi dalam proses mendapatkan sijil kejuruteraan profesional mereka. - Bernama