Lelaki warga tempatan maut ditembak

Mayat mangsa ditemui di Taman Alam Jaya di sini pada Jumaat.
Mayat mangsa ditemui di Taman Alam Jaya di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ditemui maut di Taman Alam Jaya di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap atas jalan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian tembakan kira-kira jam 11.40 pagi.

"Siasatan awal mendapati lokasi itu merupakan deretan rumah kedai satu tingkat dan lelaki itu ditemui tertiarap dan sebuah motosikal Yamaha LC135 dipercayai ditunggang mangsa turut berada di lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ramli berkata, pemeriksaan turut menemukan beberapa kesan tembakan pada tubuh mangsa.

Jelas beliau, Unit Forensik Selangor turut menemui beberapa kelongsong peluru di lokasi kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," jelas beliau.