Enam titik panas dikesan di Malaysia: JAS

Semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut atau tapak pelupusan sampah. Gambar kecil: Wan Abdul Latiff
Semua pihak diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut atau tapak pelupusan sampah. Gambar kecil: Wan Abdul Latiff
A
A
A

SHAH ALAM - Enam titik panas dikesan di seluruh negara membabitkan dua di Pahang, satu di Perak dan tiga di Sarawak.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, titik panas itu dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 berdasarkan Laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada Khamis.

“Titik panas yang dikesan akan disiasat di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Selain itu, terdapat 97 titik panas dikesan di Kalimantan dan 70 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia.

“Peta jerebu serantau yang ditunjukkan oleh ASMC (http://asmc.asean.org/home/) menunjukkan bahawa jerebu asap sederhana diperhatikan di sekitar gugusan titik panas yang dikesan di Kalimantan Barat dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di stesen Sri Aman, Sarawak turut mendapati bacaan yang tidak sihat dicatatkan di kawasan berkenaan pada pagi Jumaat.

Menurutnya, ia disebabkan oleh pembakaran terbuka di kawasan pertanian berhampiran dengan stesen terbabit.

Sehubungan itu, Wan Abdul Latiff berkata, semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Menurut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya.