Ahli perniagaan mengaku tidak salah tipu RM1.89 juta

Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan ke atasnya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan ke atasnya.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berbeza di sini terhadap lapan pertuduhan menipu seorang individu melibatkan nilai RM1.89 juta pada Jumaat.

Tertuduh, Chan Eng Leong, 48 didakwa telah melakukan penipuan itu bagi menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Eksais Diraja Malaysia pada 2019.

Pengakuan itu dibuat tertuduh di hadapan Hakim Mohd Khalid Abd Karim dan Mazdi Abdul Hamid selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Eng Leong didakwa menipu Pengarah Syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd, Goh Kim Heong dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak JKDM dan Jabatan Eksais DiRaja.

Tertuduh dengan itu dengan curangnya telah mendorong Kim Heong memindahkan saham syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd kepada syarikat Natural Transforms Sdn Bhd miliknya yang mana Kim Heong tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh sebanyak lapan kali iaitu enam kali pada 24 April dan masing-masing sekali pada 11 Jun dan 15 Ogos 2019 di alamat No 29, Green Hall di sini, membabitkan pemindahan sebanyak 1,810,020 unit saham.

Ia melibatkan nilai keseluruhan RM1,895,020.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri; Mohammad Nazri Abdul Rahim; Teh Li Siew dan Chew Qi Wei.

Tertuduh diwakili peguam RSN Rayer dan R Arvend.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap satu pertuduhan yang dihadapi tertuduh di hadapan kedua-dua hakim.

Rayer kemudiannya merayu agar mahkamah mempertimbangkan supaya jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesemua akaun bank milik tertuduh kini sudah dibekukan.

Selain itu, menurut Rayer, tertuduh juga menanggung seorang isteri dan tiga anak.

Rayer berkata, tertuduh turut diarahkan membayar wang jaminan sebanyak RM450,000 bersabit dua lagi kes yang sedang dihadapinya di Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini.

Mohd Khalid kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Dalam pada itu, Mazdi pula menetapkan wang jaminan keseluruhan RM130,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Beliau turut mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu pengadu dan saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Sementara itu, kedua-dua mahkamah turut membenarkan permintaan Rayer supaya wang jaminan dibayar berasingan iaitu sebahagian pada Jumaat manakala sebahagian lagi pada Isnin depan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 27 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.