Inisiatif Watani diperluas ke seluruh negara

Idris merasmikan Laman Watani di sini pada Jumaat.
Idris merasmikan Laman Watani di sini pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Inisiatif Wakaf Pertanian Bersepadu (Watani) akan diperluas ke seluruh negara dalam mendepani isu inflasi dan sekuriti makanan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Idris berkata, model Watani dilihat mampu menjadi pemangkin kepada penurunan kadar kebergantungan kepada pengimportan bekalan makanan.

"Pada tahun 2015, nilai pengimportan makanan negara adalah RM45.3 bilion manakala RM55.4 bilion pada tahun 2020," katanya.

Beliau berkata, jumlah yang besar itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain seperti pemberian biasiswa, pembinaan sekolah dan sebagainya.

"Dalam masa tempoh lima tahun, berlaku peningkatan RM10 bilion. Bayangkan bagaimana aliran wang kita telah keluar," katanya.

Katanya, Watani bermatlamat menjadi penghubung kepada kelompongan dalam pengeluaran agro makanan negara.

"Ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar pengeluaran dalam negara dipertingkatkan, birokrasi tanah dimudahkan serta melibatkan semua tanah-tanah terbiar termasuk wakaf," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan projek Watani, di sini pada Jumaat.

Pelaksanaan projek Watani itu dibuat di atas tapak seluas 10 ekar tanah yang merupakan tanah wakaf kubur milik Perbadanan Putrajaya menjadi ladang komersil bagi prospek industri tani yang berpotensi membangunkan sosioekonomi masyarakat.

Antara tanaman yang diketengahkan adalah golden melon, fertigasi cili, nanas Yankee, nanas MD2 dan pisang tanduk dengan sasaran nilai jualan antara RM90,000 hingga RM240,000 bagi tempoh tiga bulan bergantung kepada jenis tanaman.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Datuk Selamat Paigo dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.