Kaji semula skim perkhidmatan pembantu tadbir

Amir Hamzah (depan, tiga dari kanan) bersama pimpinan dan ahli AUEGCAS Pahang pada Bengkel Pengurusan dan Mesyuarat Agung AUEGCAS Pahang Ke-55 di Genting Highlands pada Khamis.
Amir Hamzah (depan, tiga dari kanan) bersama pimpinan dan ahli AUEGCAS Pahang pada Bengkel Pengurusan dan Mesyuarat Agung AUEGCAS Pahang Ke-55 di Genting Highlands pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) menuntut kerajaan mengkaji semula dan melakukan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, antara tuntutan yang dikemukakan termasuk mengkaji semula dan mempercepatkan kenaikan gaji, perubahan gred dan pertukaran syarat lantikan kepada skim-skim perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, ia melibatkan pembantu tadbir pengkeranian operasi, pembantu tadbir pengkeranian kewangan, pegawai khidmat pelanggan, pembantu akauntan, pembantu setiausaha pejabat dan pembantu pengurusan murid.

"Asas kepada tuntutan itu mengambil kira kepada skim gaji kumpulan berkenaan yang disifatkan terlalu rendah berbanding kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini.

"Perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan kumpulan ini turut memainkan peranan penting selain berdepan tekanan bebanan tugas dengan gaji kurang setimpal," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Amir Hamzah berkata, tuntutan itu antara ketetapan yang dibawa pada Mesyuarat Agung Tri Tahunan AUEGCAS Pahang ke-55 di Genting Highlands, pada Khamis.

Menurutnya, tuntutan itu telah dibawa dalam satu program 'town hall' kesatuan gabungan di bawah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini.

"Perkara ini mendapat perhatian pihak-pihak berkenaan dan kita harap tuntutan ini dipertimbangkan dan akan ada perkembangan yang positif," katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, AUEGCAS yang ditubuhkan sejak tahun 1963 telah memiliki keahlian mencecah hampir 45,000 orang di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, kemasukan ahli baharu di seluruh cawangan AUEGCAS negeri juga semakin meningkat.