Dua suspek pecah rumah dicekup

Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang ditemui dalam serbuan di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Rabu.
Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang ditemui dalam serbuan di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Dato Hormat ditahan sepasukan polis dalam serbuan di sekitar Telok Panglima Garang, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, polis menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun pada 8 Ogos, mendakwa kediamannya dipecah masuk individu tidak dikenali.

"Barang yang hilang adalah sebuah komputer riba jenama Asus, tiga unit telefon bimbit, satu utas loket emas, satu unit pemancu pena dan wang tunai sebanyak RM200.

"Bertindak atas maklumat, pada 10 Ogos lebih kurang 3.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota daripada Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah berjaya membuat tangkapan melibatkan dua lelaki tempatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Ridhwan berkata, pasukan serbuan turut berjaya menemui semula sejumlah barangan dipercayai daripada hasil kegiatan pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang.

Katanya, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di daerah Kuala Langat dengan tertangkapnya kedua-dua suspek terbabit.

"Hasil semakan mendapati suspek yang ditangkap berumur 33 tahun dan 40 tahun, masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik," katanya.

Beliau berkata, suspek direman dua hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah.