Terbuka Toronto: Serena pulang awal

Serena mengucapkan selamat tinggal buat sukan tenis selepas tewas di tangan Belinda pada pusingan kedua Masters Toronto. - Foto Agensi
Serena mengucapkan selamat tinggal buat sukan tenis selepas tewas di tangan Belinda pada pusingan kedua Masters Toronto. - Foto Agensi
A
A
A

LEGENDA tenis dunia dari Amerika Syarikat (AS), Serena Williams yang sebelum ini mengumumkan bakal bersara terpaksa meninggalkan Masters Toronto buat kali terakhir dalam suasana menghibakan selepas tumpas 2-6, 4-6 kepada pemain Switzerland, Belinda Bencic.

Kekalahan pada pusingan kedua kepada pemenang pingat emas Olimpik itu adalah sesuatu yang tidak dijangka ketika Serena yang mencecah usia 40 tahun hanya beraksi dalam perlawanan ketiganya tahun ini.

Belinda melakukan lapan ace dan mematahkan servis Serena dua kali pada set pertama dan sekali pada set kedua, memenangi perlawanan pertamanya selepas 78 minit.

Selepas tamat perlawanan Belinda yang ditemui media memberitahu, perlawanan menentang Serena adalah sesuatu yang indah.

"Aksi ini amat istimewa. Ia juga menggembirakan kerana menjadi penghormatan buat saya dapat bermain bersama Serena," katanya.

Temu bual perpisahan bersama Serena di gelanggang turut dipenuhi dengan emosi apabila nada suaranya dilihat tersekat-sekat.

"Saya suka bermain di sini, saya sentiasa suka bermain di sini. Saya harap boleh bermain lebih baik, tetapi Belinda bermain dengan begitu baik.

"Saya sangat gembira berada di sini dan terima kasih atas sokongan. Ia adalah satu kegembiraan bermain di hadapan anda semua selama ini," ujar Serena.

Artikel Berkaitan: