Tempoh kemuka RFP projek LRT Bayan Lepas dilanjutkan

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Zairil Khir Johari
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Zairil Khir Johari
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang melanjutkan tempoh peringkat pra-kelayakan bagi proses permohonan mengemukaan cadangan (RFP) bagi pelaksanaan komponen Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas sehingga 7 Oktober depan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, lanjutan itu bagi membolehkan banyak syarikat mendaftar dan mengemukakan maklumat serta cadangan masing-masing berhubung pelaksanaan projek tersebut.

Menurut Zairil Khir, selepas pengemukaan cadangan dibuka pada 20 Julai lalu, ia mendapat sambutan baik daripada syarikat tempatan dan antarabangsa.

"Sehingga 8 Ogos, lebih 40 syarikat tempatan dan antarabangsa mendaftar, membeli dan memuat turun dokumen pra-kelayakan dari laman web Penang Infrastructure Corporation (PIC).

"Kerajaan negeri Pulau Pinang juga menerima permintaan daripada lebih 10 syarikat termasuk beberapa firma antarabangsa dari Eropah dan Asia berkepakaran dalam pembinaan landasan keretapi yang memohon tempoh pengemukaan dokumen pra-kelayakan dilanjutkan,"katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Zairil Khir berkata, lanjutan tempoh itu adalah untuk memberi mereka lebih masa menyediakan dokumen diperlukan seperti surat sokongan daripada bank dan membentuk usaha sama dengan syarikat tempatan.

Katanya, syarikat-syarikat berminat dikehendaki mengemukakan dokumen pra-kelayakan selewat-lewatnya jam 12 tengah hari pada 7 Oktober.

"Pendaftaran peringkat pra-kelayakan ditutup pada 8 Ogos, kini dibuka semula hingga 19 Ogos 2022 untuk membolehkan lebih banyak syarikat berminat untuk mendaftar.

"Dokumen pra-kelayakan lengkap hendaklah dikemukakan dalam sampul surat tertutup ditandakan secara jelas dengan tajuk cadangan dan nombor rujukan di bahagian tengah atas sampul surat dan diletakkan di dalam peti tender di pejabat PIC di Komtar," katanya.