Usul kerakyatan anak lahir luar negara dibahas petang ini

Dewan Negara akan membahaskan usul berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia pada persidangan petang ini. - Foto hiasan 123RF
Dewan Negara akan membahaskan usul berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia pada persidangan petang ini. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara akan membahaskan usul berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia pada persidangan petang ini selepas mendapat persetujuan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mohamad Ali berkata, usul yang dibawa Datuk Seri Zurainah Musa itu akan dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) dan ia memenuhi tiga syarat iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

"Saya membenarkan pihak pencadang untuk berbahas selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab selama 30 minit, tertakluk kepada permohonan dan penyataan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat bolehlah menyertai perbahasan itu mengikut kadar yang diberikan petang ini,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Negara pada Khamis.

Terdahulu, Zurainah ketika membawa usul itu berkata, usulnya dibawa ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lepas yang telah memutuskan isu anak-anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara tidak diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik, berbeza dengan lelaki.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan telah meletakkan tanggungjawab kepada Parlimen untuk meminda Perlembagaan demi keadilan keluarga yang terjejas, namun Parlimen bergantung kepada kementerian untuk membawa pindaan tersebut.

Zurainah berkata, usul itu bukan untuk menyoal keputusan mahkamah tetapi bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai komitmen dalam membawa pindaan Perlembagaan kepada Parlimen.

"Kelewatan untuk membawa pindaan ini menjejaskan reputasi Parlimen kerana ia seolah-olah Parlimen tidak berfungsi. Setakat ini, tiada maklumat daripada kementerian mengenai garis masa mahupun komitmen untuk membawa pindaan ini ke Parlimen,” katanya.

Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang. - Bernama