10,012 kelahiran di Pahang dalam tempoh enam bulan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang merekod 10,012 kelahiran di negeri berkenaan dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pengarahnya, Nor Hafizah Md Nor berkata, purata jumlah kelahiran yang berdaftar dianggarkan di antara 21,000 hingga 25,000 setahun dan pihaknya mempunyai rekod kelahiran disetiap daerah di negeri ini.

Menurutnya, jumlah kelahiran di Pahang masih lagi rendah berbanding beberapa negeri lain.

“Berdasarkan data, kelahiran tertinggi direkodkan pada Februari iaitu sebanyak 1,826 kelahiran diikuti Mac (1,727), Jun (1,693), Mei (1,643), Januari (1,598) dan April (1,525).

“Daerah Kuantan mencatat 3,694 kelahiran diikuti Temerloh 1,012, Rompin (876), Pekan (850), Lipis (636), Jerantut (630), Maran (621), Bentong (587), Bera (425), Raub (425) dan Cameron Highlands (256),” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penanaman Pokok Program Pahang Pride Kid 2022 (Anak Kebanggaan Pahang) Parlimen Maran di Laman Qalbu di Maran.

Program berkenaan dirasmikan Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Dalam program itu, sebanyak 150 pokok Merbau ditanam kawasan Air Terjun Teladas.