[VIDEO] Peragut dah kena cekup polis

Tangkap layar video tular kejadian ragut di Taman Sentosa.
Tangkap layar video tular kejadian ragut di Taman Sentosa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai meragut beg tangan seorang wanita di Lorong Songkit 3, Taman Sentosa di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa seorang wanita berusia 47 tahun membuat laporan polis pada jam 12.33 tengah hari, pada hari sama kejadian berlaku.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 9.10 pagi ketika mangsa bersama rakannya berjalan di lokasi sebelum didatangi suspek.

"Suspek seorang lelaki berpakaian jaket berwarna kuning menaiki sebuah motosikal berwarna jingga telah meragut beg tangan pengadu dan terus melarikan diri.

"Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 1.30 petang, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan IPD JBS berjaya menangkap suspek warga tempatan berusia 27 tahun di sebuah rumah dalam kawasan Taman Molek," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan oleh suspek serta barang-barang disyaki hasil ragut iaitu empat buah telefon bimbit, beg silang, topi keledar berwarna hitam, baju jaket lengan panjang warna kuning dan sebuah motosikal jenis Honda Dash 125 berwarna jingga.

Raub berkata, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pecah rumah serta dua rekod jenayah berkaitan samun yang telah disenarai hitam.

"Susulan penangkapan suspek ini, polis berjaya menyelesaikan tiga kes ragut yang berlaku di sekitar kawasan Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum itu, video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki sedang menaiki motosikal meragut beg tangan seorang wanita tular di media sosial.