Kehilangan Koh, Amri: Tiada arahan dari saya: Ahmad Zahid

Zahid
Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah memberi arahan kepada Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terlibat dalam kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Ahmad Zahid menegaskan arahan seumpama itu juga tidak pernah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha KDN ketika itu (Datuk Seri Alwi Ibrahim).

“Tiada sebarang arahan diberikan oleh saya atau ketua Setiausaha KDN pada masa itu. Saya harap siasatan dapat dilakukan secara profesional,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga bekas timbalan perdana menteri, berkata demikian ketika mengulas keputusan panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa kehilangan Koh, dan Amri iaitu aktivis Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis sebagai mangsa kehilangan paksa.

Ahmad Zahid berkata: “Saya belum melihat laporan Suhakam, namun jika dapatan itu memperlihatkan ada penglibatan pihak ketiga maka kita harus menghormati laporan berkenaan.

“Kita harus juga menghormati institusi kepolisan dan dalam perkara ini sebarang siasatan yang mahu dilakukan harus berdasarkan pendekatan profesionalisme.”

Koh dilaporkan hilang pada 2017 manakala Amri pada 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan: