Penunggang motosikal maut terperosok bawah SUV

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan melibatkan dua kenderaan menyebabkan dirinya terperosok ke bawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Elektron, Seksyen U16, Denai Alam di sini pada Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba Kota Anggerik dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton X70 dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun didapati tersepit di bawah kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norazam berkata mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat beberapa minit kemudian dan didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,"ujarnya.