Enam ahli sindiket tipu tawaran kerja diberkas

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Ceylon di sini pada Selasa.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Ceylon di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai enam individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud di sebuah premis di Jalan Ceylon di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berusia 19 hingga 26 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 5.25 petang.

"Kita menerima maklumat premis berkenaan beroperasi sebagai pusat panggilan sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud sejak sebulan lalu.

"Polis merampas 29 unit telefon bimbit, lima unit komputer, lima unit pemprosesan komputer (CPU), lima unit papan kekunci, lima unit tetikus dan satu unit komputer riba," katanya.

Menurutnya, kesemua individu berkenaan direman selama tiga hari bermula pada Rabu sehingga Jumaat bagi siasatan lanjut

"Orang ramai sentiasa berwaspada agar tidak terpedaya dan menjadi mangsa.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau balai polis berhampiran," ujarnya.