MAHB, Capital A setuju batal semua prosiding perundangan

Iskandar Mizal mengesahkan semua pihak terbabit telah menggugurkan kesemua prosiding undang-undang yang telah dijalankan sebelum ini.
Iskandar Mizal mengesahkan semua pihak terbabit telah menggugurkan kesemua prosiding undang-undang yang telah dijalankan sebelum ini.
A
A
A

SEPANG - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), anak syarikatnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) dan syarikat induk AirAsia Aviation Group Limited, Capital A Berhad (Capital A) mengumumkan penamatan prosiding perundangan antara semua pihak.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood mengesahkan semua pihak terbabit telah menggugurkan kesemua prosiding undang-undang yang telah dijalankan sebelum ini.

“Tiada lagi sebarang prosiding undang-undang atau litigasi material daripada MAHB menentang AirAsia Berhad/AirAsia X Berhad.

“Kami percaya bahawa kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penerbangan adalah penting mendorong kami ke arah pertumbuhan untuk industri dan negara.

“Kami komited ke arah bekerjasama untuk manfaat dan kejayaan bersama semua pihak berkepentingan penerbangan iaitu syarikat penerbangan, lapangan terbang, penumpang dan industri,” katanya dalam satu kenyataan bersama antara MAHB dan Capital A pada Rabu.

MASSB sebelum ini membuat tuntutan terhadap AirAsia dan AirAsia X adalah untuk tunggakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tidak dibayar pada kadar ditetapkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di bawah Peraturan-Peraturan Mavcom (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 yang dipinda pada 2017 dan 2018.

Mahkamah Rayuan pada 3 Mac lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Julai 2019 yang memerintahkan AirAsia dan AirAsia X membayar PSC sebanyak RM40.73 juta dan RM792,381 bagi caj LPC yang belum dibayar kepada MASSB.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penarikan semula kesemua prosiding undang-undang itu diharapkan dapat memastikan kerjasama lebih baik pada masa depan antara pihak terbabit.

Katanya, adalah penting untuk kesemua pihak berkepentingan bagi bekerjasama merangsang kembali kebangkitan industri pengangkutan udara selepas dunia kembali pulih daripada pandemik.

“Sebagai dua pemain utama memacu ekosistem penerbangan, adalah penting untuk MAHB dan syarikat penerbangan kami berpangkalan di Malaysia, AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad menunjukkan solidariti menjadikan industri penerbangan Malaysia berdaya saing dan lebih menarik.

“Kami sangat gembira kerana telah menemui titik persamaan untuk mencapai hasil yang baik mengenai penyelesaian sebarang perkara tertunggak dengan MAHB, melalui sokongan dan dialog yang membina dalam semangat perkongsian.

“Ini petanda baik untuk menyokong pemulihan cepat industri dan untuk merangsang pelancongan Malaysia dan perkembangan ekonomi,” ujarnya.

Tony turut melahirkan penghargaan kepada sokongan MAHB dalam usaha memastikan perjalanan udara keluar dari hab utama syarikatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) mampu milik kepada jutaan penumpang setiap tahun.

“Ia juga termasuk melalui komitmen bersama dengan kami dalam meningkatkan perkhidmatan bagi membina industri pelancongan lebih baik di Malaysia untuk masa hadapan, yang mana merupakan situasi menang-menang untuk semua,” jelasnya.