Polis cari saksi kes pergaduhan

Sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Perai pada 7 Ogos lalu.
Sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Perai pada 7 Ogos lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian pergaduhan sekumpulan individu di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Taman Chai Leng Park di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu polis menyiasat kes berkenaan yang dipercayai berlaku pada jam 3.30 pagi, pada Selasa.

Menurutnya, sehingga kini, tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak termasuk mereka yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.

"Kita sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat selain punca pergaduhan tersebut berlaku.

"Polis memohon agar orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dan boleh terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Heng Boon Aun di talian 011-35235498 atau 04-5382222.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, mengulas mengenai video yang tular di media sosial, Cheng San berkata, empat klip video yang berdurasi 23 saat, 22 saat, 17 saat dan 8 saat telah dimuat naik di Facebook Kongsi Segala Info.

"Kesemua video tersebut memaparkan kejadian pergaduhan sekumpulan individu (suspek) di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Perai.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian tersebut disyaki melibatkan sekumpulan lelaki dengan menggunakan beberapa objek sebagai senjata untuk menyerang antara satu sama lain," katanya.