Larangan guna pembesar suara luar masjid sejak Oktober 2017

Mohd Shahzihan & Kenyataan Mohd Shahzihan pada Rabu.
Mohd Shahzihan & Kenyataan Mohd Shahzihan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan arahan kepada Pentadbir Masjid dan Surau seluruh Selangor untuk tidak membenarkan penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau untuk sesi kuliah yang dijalankan sejak 23 Oktober 2017.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika merujuk kepada sebuah laporan portal berita pada Selasa berhubung tangkapan seorang lelaki didakwa mengamuk di sebuah surau di Kampung Ampang Campuran, Ampang Jaya.

Tangkapan lelaki berkenaan dikaitkan dengan penggunaan pembesar suara semasa program kuliah subuh di surau berkenaan.

Mohd Shahzihan menerusi satu kenyataan berkata, ketetapan tersebut adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 16 Oktober 2017.

Menurutnya, baginda menitahkan agar penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah perlu dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

"Pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan.

"Titah baginda dibuat agar imej dan kemuliaan agama Islam sebagai suatu sistem cara hidup yang sempurna, dinamik serta sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai oleh semua pihak, selain menjadi contoh teladan yang baik," katanya pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, siasatan lanjut terhadap pihak surau tersebut akan dibuat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No 9 Tahun 1995.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, siasatan dibuat di bawah enakmen berkenaan kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam di negeri tersebut.