Pemuda dibelasah penduduk selepas rempuh pagar rumah

Tok Beng Yeow
Tok Beng Yeow
A
A
A

KULAI - [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda cedera dibelasah penduduk setempat yang berang selepas melanggar pagar rumah dan sebuah kereta di Taman Makmur di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 2.11 pagi yang memaklumkan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu pemuda berkenaan melanggar bahagian depan rumah tersebut.

"Apabila anggota kereta peronda polis sampai di lokasi mendapati pemuda itu cedera di muka dipukul orang awam di kawasan tersebut.

"Siasatan mendapati pemuda tersebut melanggar pagar rumah dan kereta milik seorang lelaki berusia 60 tahun hingga menyebabkan kereta tersebut masuk ke dalam rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian tersebut dan pemuda itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, ujian pernafasan yang djalankan mendapati pemuda berkenaan negatif iaitu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

"Lelaki tersebut kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru," katanya.

Beng Yeow berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Menurutnya, polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

"Polis masih mengenal pasti individu yang terlibat memukul pemuda berkenaan.

"Saksi kejadian boleh tampil di IPD Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fatin 018-3649199 atau Inspektor Dzulhanafie 019-5383819," ujarnya.