Warga emas curah bakti buka rumah ngaji

Abdul Majid di hadapan rumahnya di Temerloh yang dijadikan rumah mengaji al-Quran sejak 2019.
Abdul Majid di hadapan rumahnya di Temerloh yang dijadikan rumah mengaji al-Quran sejak 2019.
A
A
A

TEMERLOH - Sepasang warga emas di Kampung Batu Kapor di sini sanggup mengubah suai tingkat atas rumah mereka untuk membuka kelas mengaji al-Quran yang dikenali sebagai Rumah Ngaji Wakaf Atok Gomok Surau Ar-Rahmah.

Abdul Majid Muad, 64, dan isterinya, Norrain Nasri, 60, berjaya membuka kelas tersebut pada 2019 dan ia mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat dan sekitarnya termasuk ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

"Hampir 20 pelajar terdiri warga emas lelaki dan wanita, kanak-kanak dan remaja mengikuti kelas mengaji al-Quran ini yang dikendalikan oleh beberapa tenaga pengajar.

"Cuma sejak kebelakangan ini, sambutan sedikit kurang tapi ia tidak lemahkan semangat kami untuk terus membuka kelas ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bapa kepada enam cahaya mata tersebut berhasrat untuk memperbesarkan kelas tersebut sekiranya bilangan pelajar terus meningkat.

Abdul Majid menunjukkan tingkat atas rumahnya yang dijadikan rumah ngaji untuk masyarakat setempat.
Abdul Majid menunjukkan tingkat atas rumahnya yang dijadikan rumah ngaji untuk masyarakat setempat.

"Ini salah satu cara saya dan isteri untuk membantu masyarakat dengan memberikan mereka peluang mempelajari al-Quran.

"Saya juga terbuka jika ada mana-mana pihak ingin mengadakan kelas di sini supaya ia terus dapat membantu mereka yang ingin mempelajari al-Quran," tambahnya.

Ujarnya lagi, kelas itu tidak terhad untuk penduduk kampung itu sahaja dan penyertaan pelajar sekitar daerah tersebut amat dialu-alukan.