'Itu ialah kapal sebenar, bukan dummy'

Pelancaran LCS TLDM di Lumut, Perak pada 2017 merupakan kapal sebenar yang sedang dalam proses pembinaan. (Gambar kecil: Ahmad Kamarulzaman)
Pelancaran LCS TLDM di Lumut, Perak pada 2017 merupakan kapal sebenar yang sedang dalam proses pembinaan. (Gambar kecil: Ahmad Kamarulzaman)
A
A
A

SHAH ALAM - Pelancaran kapal tempur persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada 2017 merupakan kapal sebenar yang sedang dalam proses pembinaan.

Panglima Tentera Laut Ke-16, Laksamana Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menjelaskan, tiang 'mast' yang dipasang pada LCS berkenaan juga adalah yang sebenar dan bukannya 'dummy' seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk 'mast' yang yang dikhabarkan palsu.

"Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, tidak benar.

"Semua ini turut dijelaskan semasa sesi Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini. Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 24 Ogos 2017, LCS pertama milik TLDM dilancarkan dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela berlangsung di dermaga Boustead Naval Shipyard (BNS) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dalam pada itu Ahmad Kamarulzaman menjelaskan, pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis TLDM sejak sekian lama dan bukannya pertama kali dilakukan di Lumut.

Malah katanya, praktis itu juga merupakan amalan biasa di negara-negara lain.

"Sebab itu perkara ini juga disebut oleh Kapten (B) Ir Azhar Jumaat dalam sesi menghadap PAC pada 11 Disember 2021 lalu.

"Sebagai contoh praktis di negara lain semasa pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Perancis, kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya.

"Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking," katanya.