LCS: Pemuda Amanah dakwa cemar imej diraja

Gambar Fail Bernama. Gambar kecil: Khairol Najib
Gambar Fail Bernama. Gambar kecil: Khairol Najib
A
A
A

IPOH - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mendakwa kepincangan projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion telah mencemar imej Institusi Diraja negeri ini.

Ketua Pemuda Amanah negeri, Khairol Najib Hashim berkata, majlis penamaan dan pelancaran kapal itu sekitar 2017 lalu telah disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, dengan pendedahan dilakukan membuktikan bahawa berlaku penipuan bagi menjayakan acara berkenaan.

"Penipuan tersebut sewajarnya tidak berlaku apatah lagi perkara ini bukan sahaja memalukan sistem pertahanan negara tetapi mengheret sama nama baik Institusi Diraja Perak," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Pemuda Amanah menggesa satu laporan polis dibuat kerajaan negeri berkaitan perkara itu.

"Permohonan maaf secara terbuka juga wajar dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam acara tersebut," katanya.

Dalam majlis penamaan itu, LCS pertama milik TLDM yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan iaitu Boustead Naval (BN) Shipyard Sdn Bhd telah dinamakan kapal Maharaja Lela.

Nama Maharaja Lela dipilih sempena nama Datuk Maharaja Lela yang juga seorang pahlawan Melayu yang memimpin perjuangan rakyat Perak bagi menentang penjajahan British di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh sebelum ini mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.