Mara rangka program khusus banteras rasuah

Fazli Rizal (tiga dari kiri) bergambar bersama pegawai Mara dan pasukan Rasuah Busters yang membuat kunjungan hormat di Pejabat Mara Kelantan pada Rabu.
Fazli Rizal (tiga dari kiri) bergambar bersama pegawai Mara dan pasukan Rasuah Busters yang membuat kunjungan hormat di Pejabat Mara Kelantan pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kelantan akan merangka program yang lebih khusus dan berfokus berkaitan rasuah bersama golongan sasar dalam usaha membanteras jenayah itu.

Usaha itu antara lain selepas inisiatif pasukan Rasuah Busters berkongsi mengenai isu integriti ketika Program Kunjung Hormat ke Pejabat Mara pada Rabu.

Pengarah Mara negeri Kelantan, Fazli Rizal Ismail turut mengakui, Rasuah Busters perlu digerakkan membabitkan semua pihak di Mara untuk memberi kesedaran mengenai bahaya rasuah.

"Komuniti Mara sangat besar. Selain warga kerja, kami berurusan dengan usahawan, pelajar, ibu bapa dan pelanggan," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dan Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan.

Fazli Rizal memberitahu, perkara itu akan bermula membabitkan pegawai sebelum diperluaskan kepada kakitangan, pelanggan dan usahawan.

Menurut beliau, Mara perlu menunjukkan agensi itu bebas rasuah selain berintegriti tinggi.

"Kita berharap akan lahir lebih ramai generasi akan datang yang sayangkan negara dan menerapkan nilai murni tinggi supaya bebas rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Fazli Rizal dan wakil pegawai-pegawainya mendengar taklimat mengenai objektif Rasuah Busters dan usaha yang dilakukan bagi membantu membanteras rasuah.