Izzah tekad baiki ranking dunia

Izzah memasang impian untuk membuat penampilan ketiga pada Kejohanan Dunia di Bulgaria September ini.
Izzah memasang impian untuk membuat penampilan ketiga pada Kejohanan Dunia di Bulgaria September ini.
A
A
A

GIMNAS negara, Izzah Amzan bertekad untuk memperbaiki ranking sekiranya terpilih untuk mewakili negara pada Kejohanan Dunia di Bulgaria dari 14 hingga 18 September ini.

Sekiranya terpilih, ia menjadi penampilan ketiga buat pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2022 itu di pentas antarabangsa.

Izzah memberitahu, pada penyertaan kali pertama, dia menduduki tempat ke-67 'all-around' dan penampilan kedua berjaya membaiki kedudukan untuk berada di tempat ke-57.

"Kalau pergi kali ini saya harap dapat memperbaiki ranking dunia. Saya cuba untuk berada dalam kelompok 50 terbaik," katanya.

Bagaimanapun atlet berusia 22 tahun itu menyerahkan kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sama ada mahu menyenaraikannya atau sebaliknya.

"Jika berdasarkan kelayakan ketika Kejohanan Asia (di Pattaya, Thailand, Jun lalu), mungkin saya tetapi keputusan akhir masih belum tahu lagi.

"Namun bagi tahun ini kelayakan lain sedikit kerana kebiasaannya tiga gimnas tetapi untuk kali ini ada perubahan," katanya.

Izzah menjelaskan, gimnas perlu melalui pusingan kelayakan di Kejohanan Asia dan Malaysia untuk mendapatkan satu slot untuk beraksi di Kejohanan Dunia.

"Kita boleh senaraikan sesiapa saja kerana layak ikut kuota negara bukan individu, sekarang terpulang kepada MGF dan jurulatih untuk menentukan siapa yang akan beraksi di Kejohanan Dunia.

"Sudah tentu saya berharap dapat beraksi di Kejohanan Dunia tahun ini dan kalau dapat, ia akan menjadi penampilan ketiga," katanya yang beraksi dalam disiplin belantan.

Meluahkan rasa gembira dengan pencapaian pada temasya Komanwel dia masih perlu meningkatkan prestasi dengan membaiki beberapa kesilapan sebelum menyertai kejohanan dunia ini.

"Masih banyak yang perlu saya baiki untuk meningkatkan prestasi. Di Sukan Komanwel saya masih melakukan kesilapan dan selepas ini cuba tidak mengulanginya dan buat yang terbaik untuk negara," katanya.