Chuping antara kawasan utama pembangunan NAEZ

Sidang DUN Perlis. (Gambar kecil: Nurulhisham)
Sidang DUN Perlis. (Gambar kecil: Nurulhisham)
A
A
A
KANGAR - Kawasan Chuping akan menjadi antara kawasan utama yang dizonkan bagi pembangunan Zon Ekonomi AgriBio, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau (NAEZ) yang merupakan sebahagian daripada jaringan pertanian utama NAEZ Chuping-Bukit Kayu Hitam.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Nurulhisham Yaakob berkata, FGV Holdings Berhad (FGV) merupakan satu daripada rakan strategik utama berskala besar di dalam membangunkan NAEZ Chuping melalui Chuping Agro Valley (CAV) dengan sasaran jumlah pelaburan melebihi RM2 bilion.

"Kawasan CAV seluas 4,498.99 hektar mempunyai dua projek utama iaitu Integrated Dairy Farm bagi ternakan lembu tenusu seluas 3,258.92 hektar dan projek Integrated High Value Cash Drop bagi tanaman nanas jenis MD2, pisang jenis cavendish dan mangga harumanis (1,240.07 hektar),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji) berhubung perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Perlis sebagai hab pertanian dalam skala sederhana dan besar bagi menjamin bekalan makanan untuk masa akan datang.

Nurulhisham berkata, secara keseluruhannya NAEZ akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan serta mampu untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing rantaian nilai industri pertanian melibatkan sektor hiliran dan huluan pertanian, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C), modal insan dan aspek pembiayaan projek. - Bernama