Pahang negeri ketiga terendah kenakan cukai

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kadar cukai tanah di Pahang terutama kategori perindustrian adalah yang ketiga terendah di negara ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kadar cukai bagi kategori perindustrian di negeri ini hanya antara RM0.50 hingga RM0.70 semeter persegi berbanding negeri lain mencecah RM3.80.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan cukai khas bagi kategori lapangan terbang dan pelabuhan pada kadar serendah RM0.40 semeter persegi.

"Sebelum ini, kita (kerajaan negeri) mengenakan cukai perindustrian bagi kategori lapangan terbang dan pelabuhan namun demi menjadikan perniagaan dan pelaburan di Pahang kekal kompetitif dan berdaya saing, cukai khas ini telah diwujudkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, melalui kadar cukai yang rendah itu ia secara langsung dapat menarik kehadiran para pelabur untuk melabur di negeri ini, sekali gus melonjak ekonomi untuk faedah rakyat dan negeri.

Beliau berkata, kadar cukai tanah bagi perindustrian yang rendah itu membuktikan dakwaan dan tohmahan sesetengah pihak kononnya kadar cukai tanah di Pahang tinggi adalah tidak benar

"Cukai ini dikutip untuk pembangunan negeri dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya," katanya.