Skandal LCS cemar nama pahlawan Melayu

Banyak pihak menggesa supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.
Banyak pihak menggesa supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.
A
A
A

SKANDAL kapal tempur pesisir (LCS) hangat diperkatakan ketika ini adalah isu besar perlu diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ia melibatkan jumlah wang yang banyak dan menyentuh soal keselamatan ketenteraan negara.

Antara yang boleh dipertimbangkan ialah syor daripada pimpinan UMNO, Bersatu dan pemimpin politik lain yang meminta supaya diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal LCS.

Melalui RCI yang telus dan berwibawa, petualang di sebalik skandal itu akan dapat didedahkan dan rakyat boleh mengetahui punca sebenar kepada kepincangan yang berlaku.

Dalam prosiding RCI kelak, rakyat akan dapat mengetahui banyak persoalan antaranya bagaimana sejumlah wang RM6.083 bilion boleh dibayar kepada syarikat pembina kapal berkenaan sedangkan tiada satu pun kapal disiapkan.

Rakyat juga boleh mendapat penjelasan daripada pihak atasan yang dimaksudkan oleh bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengenai 10 pucuk surat yang dihantar beliau sejak tahun 2011 mengenai perolehan itu yang tidak diendahkan.

Di samping itu, persoalan mengenai keputusan mengubah jenis kapal daripada Sigma kepada Gowind dengan mengabaikan keperluan TLDM diharap akan dapat dijawab dengan lebih terperinci dalam prosiding berkenaan.

Melalui RCI, tindakan tuding menuding di media sosial, salah menyalah dan sikap lepas tangan dapat dihindarkan apabila semua pihak yang bertanggungjawab perlu menjawab di hadapan panel yang dipilih oleh kerajaan.

Selepas semua persoalan dapat dirungkaikan dan pelaku bertanggungjawab dapat dikenal pasti, maka hukuman setimpal wajar dikenakan kepada mereka yang terlibat kerana isu melibatkan keselamatan negara dan wang rakyat adalah soal yang tiada kompromi.

Artikel Berkaitan:

Jika tidak, masalah yang serius dan besar seperti ini akan terus berulang dan banyak lagi wang rakyat akan hilang disebabkan skandal-skandal mega seumpama ini.

Malah ia akan terpahat dalam sejarah sebagai satu skandal memalukan bukan sahaja kerana kepincangan dalam perolehan itu, tetapi nama-nama pahlawan Melayu yang dipahatkan pada kapal yang tidak wujud.

Nama Maharajalela, Sharif Mashor, Raja Mahadi, Mat Salleh, Tok Janggut dan Mat Kilau tidak wajar dicemarkan dengan skandal seperti ini.