Misi Birmingham 2022 tercapai

Shahrul Zaman
Shahrul Zaman
A
A
A

"SYUKUR Alhamdulillah, kita dapat membawa pulang tujuh pingat emas, lapan perak, lapan gangsa melepasi sasaran ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.”

Itu reaksi sebak diiringi tangisan kegembiraan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Shahrul Zaman Yahya sebaik kilauan emas ketujuh dihadiahkan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham pada Isnin.

“Untuk itu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada semua atlet negara yang bertarung sepenuh jiwa pada Sukan Komanwel kali ini.

“Tidak lupa juga setiap persatuan sukan kebangsaan, pasukan sekretariat yang telah berusaha dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam mencapai misi serta visi kontinjen Malaysia di Birmingham.

“Terima kasih juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang memberi kepercayaan kepada saya menggalas tugas sebagai CDM.

“Secara peribadi, saya gembira kontinjen Malaysia melepasi sasaran enam pingat emas apabila kita menyamai pencapaian tujuh emas pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018. Terima kasih semua,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sepanjang 11 hari ‘berkampung’ di Birmingham, kontinjen Malaysia meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa bagi mengakhiri cabaran di kedudukan ke-10.

Kutipan pingat diperoleh daripada sukan angkat berat (dua emas, satu perak); badminton (dua emas, satu perak, dua gangsa), gimrama (dua emas, satu gangsa) dan powerlifting (satu emas).

Kem terjun negara pula menyumbang tiga perak, satu gangsa; berbasikal (satu gangsa), judo (satu gangsa); boling padang (satu perak, satu gangsa); ping pong (dua perak) dan skuasy (satu gangsa).

Jika dibandingkan pada edisi Gold Coast 2018, kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di tempat ke-12 keseluruhan apabila membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.

Dalam pada itu, Shahrul Zaman menyifatkan temasya Sukan Komanwel kali ini merupakan pentas buat atlet negara kembali menyerlahkan potensi mereka selepas kurang beraksi pada kejohanan kompetitif berikutan pandemik Covid-19.

“Ada (atlet) yang tidak beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 tetapi masih mampu tampil cemerlang di Birmingham sehingga menyumbang pingat.

“Ini menunjukkan kita tidak ketandusan atlet muda walaupun terdapat atlet yang diletakkan sebagai prospek meraih pingat tidak dapat merealisasikannya,” ujarnya.