Tiffany raih terbaik Kitten Long Hair, Best In Show

Tiffany didukung Shamsul (tengah) bagi mengambil hadiah-hadiah yang dimenangi.
Tiffany didukung Shamsul (tengah) bagi mengambil hadiah-hadiah yang dimenangi.
A
A
A

KOTA BHARU - Kucing baka Scottish Fold Longhair yang diberi nama Tiffany meraih tempat terbaik kategori Kitten Long Hair dan Best In Show dalam Fabulous Fun Cat Show Kelantan 2022 berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada Sabtu.

Kucing betina berusia tujuh bulan tersebut dimiliki oleh Shamsul Izham yang dianggarkan bernilai RM15,000 di pasaran.

Shamsul berkata, baka jenis Scottish Fold atau dikenali juga sebagai Highland Fold sangat jarang ditemui di Kelantan dan berjaya menarik perhatian juri sekali gus diumumkan sebagai kucing terbaik.

Tiffany yang bernilai RM15,000 memenangi terbaik kategori Kitten Long Hair dan Best In Show.
Tiffany yang bernilai RM15,000 memenangi terbaik kategori Kitten Long Hair dan Best In Show.

“Saya tidak sangka ia menang kerana persaingan agak sengit dengan kucing-kucing lain yang tidak kurang hebat, cantik dan berkualiti tinggi.

“Asalnya saya menyertai pertandingan ini dengan niat untuk memperkenalkan kepada umum baka kucing jenis Scottish Fold kerana sangat jarang ada di negeri ini,” katanya di sini, pada Selasa.

Pertandingan dianjurkan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) UMK dan UMK Business Venture dengan kerjasama Pusak Pethouse sempena sambutan Hari Kucing Sedunia.

Katanya, turut memiliki 30 ekor kucing daripada baka Persian, Exotic, Scottish Fold, Maine Coon, Ragdoll dan Golden British yang dipelihara dengan belanja melebihi RM8,000 sebulan.

“Kos penjagaan tersebut termasuk untuk makanan, rawatan, bil air, elektrik dan mandian, kucing-kucing baka yang berbulu panjang perlu berada di dalam bilik berhawa dingin selama 24 jam.

Kucing yang turut menyertai Fabulous Fun Cat Show Kelantan 2022.
Kucing yang turut menyertai Fabulous Fun Cat Show Kelantan 2022.

“Terdapat tiga pendingin hawa yang beroperasi 24 jam untuk memastikan kucing-kucing berada dalam keadaan sihat dan selesa sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi Dan Pascasiswazah), Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan UMK, Dr Ahmad Fahme Mohd Ali berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 500 pengunjung.

Mereka terdiri daripada peminat-peminat kucing yang menyertai pertandingan seperti pakaian kucing cantik, pertandingan kucing baka peliharaan dan cabutan bertuah.

“Kami menerima sambutan luar biasa dengan lebih 120 penyertaan dan penganjuran bukan sahaja sekadar mempertontonkan kucing kepada umum tetapi bertujuan menanamkan kesedaran serta pengetahuan kepada masyarakat terhadap penjagaan kucing peliharaan.

“Turut diadakan ceramah asas penjagaan kucing oleh Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UMK, Dr Nur Zulaikha Mat Nawawi bagi memupuk semangat cinta akan kucing dan menjauhkan sifat menganiaya kucing,” katanya.