5,000 anak Kelantan dijangka meriahkan Bekwoh Sugho 2022

Bekwoh Sugho 2022 akan diadakan pada 28 Ogos ini di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Bekwoh Sugho 2022 akan diadakan pada 28 Ogos ini di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 5,000 anak Kelantan yang berada di Lembah Klang dijangka memeriahkan acara Bekwoh Sugho 2022 yang akan berlangsung pada 28 Ogos ini di Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Pengerusi Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia, Mohd Raizuli Jusoh berkata, program tersebut juga bakal menyaksikan sebanyak 30 kawah bubur asyura akan dimasak oleh 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak Kelantan dan juga agensi kerajaan.

Menurutnya, acara tersebut juga diadakan bersempena dengan Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang berlangsung pada 26 Ogos sehingga 4 September ini.

"Acara ini adalah acara tahunan anak-anak Kelantan di perantauan sekitar Lembah Klang dan ini kali ke-11 diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf.

"Keunikan bubur asyura Kelantan ini adalah setiap kawah mempunyai keunikan rasa yang berbeza berdasarkan sesuatu tempat atau kawasan di Kelantan.

"Jadi, jika datang pada hari tersebut, pengunjung akan dapat merasai 30 rasa berbeza bubur asyura. Selain itu, acara tersebut akan diserikan dengan persembahan kesenian khususnya dikir barat dan nyanyian lagu rakyat negeri Kelantan yang akan dibawakan khas oleh artis popular negeri Kelantan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah (tengah) dan Mohd Raizuli (empat dari kanan) bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia menunjukkan poster acara.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah (tengah) dan Mohd Raizuli (empat dari kanan) bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia menunjukkan poster acara.

Beliau berkata, acara itu dianjurkan bertujuan mengimarahkan ukhuwah sempena bulan Muharam selain menjadi tempat untuk anak Kelantan berkumpul mengeratkan silaturahim.

"Acara ini juga akan melibatkan pemimpin setempat dan ia satu kekuatan acara ini yang menghimpunkan pemimpin dari parti berbeza untuk kacau bubur asyura," katanya.

Mohd Raizuli turut mengajak lebih ramai NGO untuk turut sama memeriahkan acara tersebut yang bermula dari jam 7 pagi sehingga 6 petang.

"Penyertaan untuk acara ini masih dibuka dan kami juga mengalu-alukan sukarelawan untuk turut serta.

"Kami juga mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin memberikan sumbangan kerana Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia bukan sahaja menjalankan aktiviti Bekwoh Sugho ini sebaliknya turut melaksanakan aktiviti kebajikan lain untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan setiausaha kerja acara tersebut iaitu Nik Affieza Nik Arif di talian 0172399549.

"Untuk sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 562218233147 atas nama akaun Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia," katanya.