Tiada rekod ekspatriat gagal bayar cukai

Wan Ahmad Dahlan menyaksikan pertukaran MoU antara Jabatan Imigresen Malaysia yang diwakili Khairul Dzaimee (duduk, dua kanan) dan LHDN yang diwakili Mohd Nizom (duduk, dua kiri) di Cyberjaya pada Selasa. - Foto Bernama
Wan Ahmad Dahlan menyaksikan pertukaran MoU antara Jabatan Imigresen Malaysia yang diwakili Khairul Dzaimee (duduk, dua kanan) dan LHDN yang diwakili Mohd Nizom (duduk, dua kiri) di Cyberjaya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Tiada rekod menunjukkan ekspatriat yang bekerja di Malaysia mengelak daripada membayar cukai yang dikenakan kepada mereka, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, ini kerana pembayaran cukai merupakan satu daripada syarat bagi membolehkan pas ekspatriat diperbaharui bagi tempoh seterusnya.

"Setakat ini belum ada lagi (ekspatriat gagal bayar cukai), semua mematuhi syarat cukai ini kerana jika mereka didapati tidak membayar cukai untuk tahun berkenaan, pas ekspatriat mereka tidak akan diperbaharui dan ini adalah satu daripada syarat utama untuk membolehkan mereka terus bekerja di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan perkongsian maklumat berkenaan ekspatriat di sini pada Selasa.

MoU yang berkuat kuasa hingga 2025 itu ditandatangani Khairul Dzaimee bagi pihak Imigresen dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi, dengan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

MoU berkenaan merupakan kesinambungan daripada MoU pertama yang ditandatangani pada 19 Jun 2014 bagi tempoh lima tahun dan berakhir pada 18 Jun 2019.

Antara data yang dikongsikan menerusi MoU itu meliputi maklumat seperti nama, kewarganegaraan, nombor pasport, rekod keluar dan masuk Malaysia serta tarikh tempoh sah laku pas ekspatriat.

Khairul Dzaimee berkata, menerusi kerjasama itu, JIM boleh menghalang mana-mana ekspatriat yang tidak membayar cukai untuk keluar dari Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, statistik LHDN dari 2014 hingga 2019 menunjukkan jumlah kutipan cukai daripada ekspatriat meningkat setiap tahun iaitu RM1.06 bilion pada 2014, RM1.5 bilion pada 2015, RM2.04 bilion (2016), RM2.8 bilion (2017), RM3.3 bilion (2018) dan RM3.6 bilion pada 2019.

Menurutnya, kutipan cukai daripada ekspatriat berkurangan pada 2020 dan 2021 masing-masing RM3.1 bilion dan RM2.5 bilion akibat pandemik Covid-19.

Sehingga kini, sebanyak 162,170 individu memegang pas aktif ekspatriat dengan 99,200 merupakan pemegang pas prinsipal dan 62,970 pas tanggungan. - Bernama