MPMA minta kerajaan percepat ratifikasi CPTPP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) meminta kerajaan supaya meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan segera untuk membolehkan industri plastik di Malaysia meraih faedah daripada perjanjian itu.

Presidennya, Datuk Lim Kok Boon berkata, MPMA menyokong sepenuhnya langkah pengesahan CPTPP itu kerana pengeluar produk plastik dijangka mendapat keuntungan daripada penghapusan tarif serta mendapat akses pasaran baharu.

"Saya menjangkakan CPTPP akan membuka akses pasaran ke Kanada, Mexico dan Peru untuk pengeksport plastik. Kesemua tiga negara ini adalah pengimport bersih produk plastik.

"Tarif untuk produk plastik akan dihapuskan serta-merta daripada maksimum 6.5 peratus untuk Kanada selepas Malaysia melengkapkan ratifikasi itu manakala tarif 15 peratus untuk Mexico dan sembilan peratus untuk Peru akan dikurangkan secara beransur-ansur dalam tempoh 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, permintaan untuk produk siap plastik termasuk produk plastik yang disahkan halal dijangka meningkat pada beberapa tahun akan datang didorong oleh permintaan yang lebih besar untuk pembungkusan makanan dan minuman, terdapat juga aplikasi yang semakin meningkat dalam sektor pembinaan.

"Penghapusan tarif untuk bahan mentah plastik di bawah CPTPP dijangka dapat mengurangkan kos bahan berkenaan, ia akan mengurangkan tekanan kos yang dihadapi oleh pengeluar plastik beberapa tahun lepas akibat peningkatan dalam kos tenaga dan buruh,” katanya.

Kok Boon berkata, secara tradisinya, Kesatuan Eropah, Jepun, Australia dan Singapura adalah destinasi eksport utama Malaysia, justeru penghapusan tarif import dan halangan bukan tarif akan meningkatkan daya saing harga eksport produk plastik negara.

"Ia juga akan membuka peluang eksport yang lebih besar ke negara-negara CPTPP termasuk akses pasaran baharu ke Kanada dan Mexico,” katanya.

Sehubungan itu, industri plastik di Malaysia harus sentiasa berada di hadapan memandangkan kepesatan kemajuan teknologi, industri plastik mempunyai akses kepada teknologi dan inovasi terkini, katanya.

CPTPP telah mewujudkan mekanisme institusi untuk teknologi dan kerjasama berkaitan inovasi dan aktiviti pembinaan kapasiti yang akan memudahkan syarikat plastik di Malaysia meneruskan kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi serta meningkatkan tahap automasi operasi mereka seiring dengan Industry4WRD dan Industri 4.0.

"Ia membolehkan syarikat-syarikat ini mencapai kualiti yang konsisten dalam pengeluaran mereka, meningkatkan kecekapan dan kebergantungan yang lebih rendah kepada buruh terutamanya buruh asing berkemahiran rendah,” katanya. - Bernama