Gaji Arif Aiman hanya RM11,000

Arif Aiman
Arif Aiman
A
A
A

PEMINAT bola sepak negara pastinya terkejut apabila mengetahui gaji pemain berbakat besar Harimau Malaya, Arif Aiman Mohd Hanapi sebenarnya hanyalah RM11,000 berbanding tanggapan mereka yang mengandaikan pemain berusia 20 tahun itu menerima gaji mencecah puluhan ribu ringgit.

Bagaimanapun, itulah jumlah sebenar diterima pemain sayap skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga merupakan pemenang Anugerah Pemain Bernilai (MVP) pasda Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK 2021) lalu.

Perkara sebenar itu didedahkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagram miliknya.

Menurut Tunku Ismail, pasti ramai yang bertanya bagaimana pemain berkenaan sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali beraksi seolah-olah menerima gaji yang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Sebenarnya, saya kenal setiap pemain saya. Daripada akademi sehinggalah ke pasukan utama. Saya juga yang membuat keputusan berkenaan kontrak pemain.

“Tahukah anda berapa gaji Arif Aiman tahun lepas? RM11,000 sahaja. Tetapi main bersungguh-sungguh. Kenapa?

“Kerana macam mana saya jaga setiap pemain. Contohnya; bonus akan diberikan kepada setiap pemain yang memberikan aksi 100 peratus dalam latihan dan juga dalam perlawanan,” katanya di Instagram miliknya.

Untuk rekod, saham pemain sayap Harimau Malaya itu kini mencecah RM1.4 juta sebagaimana tertera di laman web terkemuka dunia.

Malah nilai itu sudah dijangka setelah Arif Aiman mencatatkan bebeberapa kejayaan seperti membantu JDT muncul juara Liga Super dan Piala Sumbangsih musim lalu.

Selain itu, pemain berkenaan turut muncul sebagai salah seorang pemain yang bertanggungjawab membantu skuad Harimau Selatan itu mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL, kali ini.

Sementara itu Tunku Ismail berkata, tangga gaji yang diletakkan kepada Arif Aiman adalah tanda harga yang diletakkannya sendiri.

Malah, pihaknya juga akan menyediakan bonus kepada pemain yang memberikan prestasi terbaik sama ada ketika sesi latihan mahupun pada perlawanan sebenar.