PKNS rai 75 orang pekerja cemerlang, pesara

Amirudin (empat dari kanan) bersama para penerima APC di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini baru-baru ini.
Amirudin (empat dari kanan) bersama para penerima APC di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meraikan seramai 75 orang kakitangan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, seramai 24 orang pesara dan 49 anggota bagi perkhidmatan lama turut diberikan penghargaan sebagai mengenang jasa mereka yang setia bersama PKNS.

Menurutnya, pemberian anugerah tersebut dapat menggalakkan warga kerja untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha mempertingkatkan produktiviti serta mutu kerja yang berkualiti tinggi.

"Untuk mencapai kecemerlangan, seseorang itu memerlukan komitmen dan sokongan daripada pelbagai pihak.

"Maka anugerah ini menzahirkan penghargaan atas peranan warga kerja yang telah meningkatkan keberkesanan hasil kerja masing-masing dalam mencapai sasaran dan menepati jangkaan pelanggan.

“Melalui APC ini, saya berharap ia dapat menggalakkan warga kerja PKNS untuk terus memberikan komitmen dalam setiap tugas yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan Jasamu Dikenang 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut hadir merasmikan majlis berkenaan.

Para penerima APC membawa pulang sijil penghargaan dan cek bernilai RM1,000 setiap seorang, manakala penerima Anugerah Jasamu Dikenang dianugerahkan medalion, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) serta sijil penghargaan.

Sementara itu, pesara akan menerima medalion emas, Sijil Simpanan Premium BSN, jam tangan untuk pasangan serta sijil penghargaan.