Kenaikan OPR tidak beri kesan ketara kepada golongan B40

Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur tidak akan memberi kesan yang ketara, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melaraskan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur supaya tidak menjejaskan momentum pemulihan ekonomi Malaysia.

BNM berpandangan, kenaikan kadar OPR secara beransur-ansur tidak akan memberi kesan yang ketara khususnya kepada golongan B40, kata Mohd Shahar.

"Ini adalah kerana satu pertiga pinjaman melibatkan golongan B40 adalah pada kadar tetap, kebanyakannya adalah untuk pinjaman pembelian kereta dan pembiayaan peribadi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Aziz Ariffin mengenai kajian lapangan yang dilaksanakan kerajaan terhadap tahap kesiapsiagaan rakyat berhubung penetapan OPR apabila ia dinaikkan.

Mohd Shahar berkata, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengambil keputusan untuk melaraskan kadar OPR secara beransur-ansur menerusi kenaikan 25 mata asas pada bulan Mei 2022 dan 25 mata asas lagi pada bulan Julai 2022, sehingga mencapai kadar OPR terkini iaitu 2.25 peratus.

"Sekiranya OPR dinaikkan secara tergesa-gesa dan pada magnitud yang besar, ia boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan kesejahteraan rakyat seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, Filipina dan Turki, masing-masing mencatat kadar inflasi sebanyak 9.1 peratus, 6.1 peratus dan 78.6 peratus," katanya.

Justeru, Mohd Shahar berkata, kerajaan menerusi BNM mahu menekankan bahawa pelbagai program bantuan masih tersedia untuk golongan peminjam mudah terjejas.

"Ini termasuk kemudahan di bawah Dana BNM untuk Perusahaan Kecil Sederhana, bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar oleh bank, serta khidmat nasihat di bawah pelbagai program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kadar inflasi pada tahun 2022 dijangka mencatat purata antara 2.2 hingga 3.2 peratus manakala kadar inflasi sebenar dari Januari sehingga Jun merekodkan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus.

Pengalaman di seluruh dunia telah menunjukkan bahawa kadar inflasi yang tinggi boleh memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan juga taraf kehidupan rakyat, kata Mohd Shahar.

"Peningkatan kadar inflasi bukan sahaja didorong oleh tekanan penawaran, malah telah menunjukkan bahawa tanda-tanda kenaikan inflasi disebabkan tarikan permintaan. Sekiranya tidak ditangani dari awal, permintaan dalam negeri sekiranya berlebihan boleh menambah tekanan inflasi,” katanya.

Mohd Shahar berkata setiap kali keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, harga yang lebih tinggi boleh menjejaskan kuasa beli isi rumah terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. - Bernama