MOF pantau kesan kenaikan OPR ke atas bayaran balik pinjaman

Mohd Shahar ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Mohd Shahar ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) sedang memantau kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke atas jumlah bayaran balik pinjaman pengguna, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, pada masa sama, MOF menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) turut meningkatkan usaha memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai kenaikan OPR tersebut.

Menurutnya, keputusan BNM menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding 1.75 peratus itu juga diambil apabila petunjuk ekonomi dalam keadaan yang baik.

"Apabila petunjuk ekonomi seperti kadar pengangguran menurun dan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat, BNM akan menaikkan OPR.

"Jumlah kenaikan OPR ini jika dibandingkan dengan keadaan sebelum pandemik juga masih terkawal.

"Justeru, Kementerian Kewangan melalui BNM sedang pergiatkan usaha untuk memberi pemahaman kepada rakyat melalui tindakan (kenaikan OPR) di media masa dan media sosial,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Nuridah Mohd Salleh mengenai kenaikan OPR dan usaha MOF memberi kefahaman mengenainya kepada rakyat.

Nuridah turut bertanya mengenai tempoh jangkaan ekonomi negara berada dalam situasi inflasi dan apakah benar ekonomi kini ke arah hiperinflasi.

Menjelaskan perkara itu, Mohd Shahar berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengawal peningkatan harga barangan dan perkhidmatan keperluan asas termasuk kawalan harga bagi barangan dan perkhidmatan terpilih.

Ini khususnya melalui pemberian subsidi harga bahan api dan makanan terpilih serta rebat elektrik untuk pengguna domestik yang telah membantu memastikan kadar inflasi negara bagi Jun 2022 di tahap sederhana berbanding negara lain.

Beliau berkata, kadar inflasi mencatat 3.4 peratus pada Jun 2022, didorong oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (6.1 peratus), pengangkutan (5.4 peratus) serta restoran dan hotel (5.0 peratus).

"Langkah ini seterusnya dapat mengelakkan hiperinflasi iaitu apabila kadar inflasi kekal pada tahap sangat tinggi dari satu bulan ke satu bulan sehingga boleh menghakis nilai mata wang sesebuah negara.

"Selain itu, dasar fiskal dan dasar monetari semasa juga kekal akomodatif dalam memastikan inflasi negara berada pada tahap yang terkawal,” katanya. - Bernama