1,496kg minyak masak, 297kg gula di kedai runcit dirampas

1,496 peket minyak masak bersubsidi dan 297kg gula dirampas dari sebuah kedai runcit di Kampung Sungai Keling, Labuan pada Isnin.
1,496 peket minyak masak bersubsidi dan 297kg gula dirampas dari sebuah kedai runcit di Kampung Sungai Keling, Labuan pada Isnin.
A
A
A

LABUAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Labuan merampas 1,496 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) dan 297kg gula dari sebuah kedai runcit di Kampung Sungai Keling di sini pada Isnin.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, rampasan dengan nilai keseluruhan RM4,586.45 itu dilakukan oleh pasukan penguat kuasa semasa pemeriksaan rutin mengenai pematuhan penjualan barangan kawalan bersubsidi oleh peniaga pada jam 4.30 petang.

Katanya, pemilik kedai runcit tersebut tidak memiliki lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk menjual barangan kawalan tersebut.

"Lesen untuk menjual barang kawalan tersebut hanya RM10 setahun dan masih ada peniaga gagal memohon lesen tersebut daripada KPDNHEP,” katanya,.

Menurutnya, operasi pemeriksaan pematuhan syarat lesen akan dijalankan di semua kedai runcit di kawasan perkampungan dan kawasan penempatan.- Bernama