Bekalan air Hulu Selangor dijangka pulih sepenuhnya Khamis

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bekalan air bagi 188 kawasan di Wilayah Hulu Selangor dijangka pulih sepenuhnya pada jam 1 pagi, Khamis ini (11 Ogos).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dalam kenyataan berkata, kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sg Rasa) dimulakan jam 9 pagi tadi dan dijangka siap 9 malam ini.

"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata, Air Selangor akan menyediakan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Katanya, bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor Wilayah Petaling dan Gombak dan bagi tujuan ini pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air di Batu Caves dan Damai Utama, Puchong.

Maklumat lanjut dan perkembangan semasa boleh diperoleh menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 atau menerusi Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. - Bernama