Lesen GDL bebankan penghantar makanan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan yang mahu mewajibkan setiap penghantar makanan (p-hailing) memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL).

Penghantar dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut akan membebankan penghantar p-hailing berdasarkan beberapa asas pelaksanaan GLD tersebut.

"Motosikal penghantar p-hailing wajib menjalani proses pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selain akan dikategorikan sebagai kenderaan perdagangan dan menyebabkan kos menjadi lebih tinggi kerana polisi insurans kenderaan perdagangan.

"Selain itu, motosikal juga akan mengalami susut nilai apabila hendak dijual semula, proses untuk menukar semula status kenderaan perdagangan ke status kenderaan peribadi adalah rumit dan akan melalui kerenah birokrasi dalam proses mendapatkan GDL dan pemeriksaan Puspakom," kata kenyataan itu pada Selasa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Isnin mengumumkan kerajaan akan meminda tiga akta pengangkutan yang akan menyaksikan penghantar p-hailing perlu memiliki lesen GDL.

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang akan dibentangkan pada sesi akan datang turut membabitkan had umur penunggang p-hailing diturunkan daripada umur 21 kepada 18 tahun.

Penghantar turut menegaskan, kerajaan seharusnya memandang isu-isu yang lebih besar iaitu isu ketidakstabilan kadar upah pembayaran perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pesanan dan isu-isu diskriminasi yang dilakukan syarikat penyedia perkhidmatan terhadap penghantar p-hailing.

"Kerajaan perlu menjiwai denyut nadi penghantar p-hailing yang juga merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia, yang terbeban dengan ketidakstabilan ekonomi masa kini.

"Kerajaan juga seharusnya memberi penghargaan kepada mereka yang merupakan daripada sebahagian barisan hadapan negara dalam membantu kerajaan dan rakyat ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia," katanya.

Menurut kenyataan itu, Penghantar akan mengadakan sesi pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pelaksanaan tersebut.