Pengalaman Neto jadi taruhan Bournemouth

Pengalaman Neto bersama Barcelona menjadi taruhan Bournemouth dalam mengharungi saingan EPL musim ini. - Foto AFP
Pengalaman Neto bersama Barcelona menjadi taruhan Bournemouth dalam mengharungi saingan EPL musim ini. - Foto AFP
A
A
A

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), AFC Bournemouth menandatangani penjaga gol dari Brazil, Neto secara percuma dalam usaha memperkukuhkan benteng terakhir The Cherries kendalian Scott Parker.

Menurut kelab terbabit, pemain berusia 33 tahun yang meninggalkan Barcelona selepas kempen 2021/22 itu menandatangani kontrak setahun bersama Bournemouth.

“Sesungguhnya sesuatu yang amat menggembirakan apabila kelab berjaya mendapatkan khidmat pemain berkaliber seperti Neto untuk menyarung jersi Bournemouth.

“Kami percaya dengan pengalaman beraksi dalam saingan peringkat paling atas kejuaraan sebelum ini, ia mampu membantu daya saing kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"Pastinya Neto juga teruja memulakan cabaran baharu di Dean Court bersama rakan sepasukan lain," kata Ketua Eksekutif Bournemouth, Neill Blake.

Neto yang membuat satu penampilan bersama Brazil sebelum ini telah tampil bersama Barcelona sebanyak 21 kali sejak menyertai gergasi La Liga Sepanyol itu dari Valencia.

Beliau mula terlibat secara serius dalam karier bola sepak bersama kelab liga Brazil, Paranaense sebelum disambar sensasi Serie A, Fiorentina.

Ketika bersama Juventus, beliau berjaya merangkul lima trofi dalam tempoh dua tahun, selain naib juara Liga Juara-Juara sebelum ke Sepanyol.

Neto merupakan pembelian keempat The Cherries selepas kehadiran Joe Rothwell, Ryan Fredericks dan Marcus Tavernier.

Untuk rekod, Bournemouth yang berstatus naib juara Liga Kejuaraan musim lalu, memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan setelah menewaskan Aston Villa, 2-0 di gelanggang sendiri.