JKM cari waris Jasmine Amalina

Jasmine Amalina
Jasmine Amalina
A
A
A

KUALA PILAH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Pilah sedang mengesan waris kepada kanak-kanak perempuan berumur satu tahun enam bulan yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Pegawai Pelindung JKM Kuala Pilah, Mohd Fudlullah Ahmad berkata, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Jasmine Amalina ketika dijumpai berusia satu hari di Jalan Kemayan-Tembangau, Pahang di bawah jambatan Sungai Risda, tahun lalu.

"Bayi itu kemudiannya dihantar ke HTAN untuk mendapatkan rawatan lanjut memandangkan kepakaran ada di hospital itu berbanding daerah Bera dan sekitarnya.

"Bagaimanapun, dia disahkan mempunyai sindrom Down dan menghidap penyakit jantung berlubang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ujarnya, kanak-kanak itu bergantung kepada bantuan oksigen sepenuh masa dan perlu mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan untuk rawatan penyakitnya.

"Dia masih berada di HTAN sementara pihak pelindung mencari waris dan orang yang layak dan sesuai bagi kanak-kanak.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung waris kanak-kanak itu diminta menghubungi kami atau Pelindung Daerah Bera, Pahang, Norhafiza Abdul Wahab di talian 06-4811163 atau 09-2505800," katanya.