Syed Saddiq cabar Najib beri penjelasan di Parlimen

Gambar dari kiri: Najib, Syed Saddiq
Gambar dari kiri: Najib, Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi penjelasan berhubung isu projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) di Parlimen.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Pekan itu seharusnya membuat kenyataan rasmi di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Dewan Rakyat, bukannya menjawab melalui media sosial seperti Facebook.

“Jadi kalau kamu (Najib) atau Menteri Pertahanan begitu arif dengan projek ini, hadir ke Parlimen dan jawab dengan telus.

“Tak perlu takut kalau kamu di pihak yang benar. Nak jawab, jawab betul-betul,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Isnin.

Pada Khamis, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan kapal LCS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, hal tersebut dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Selain itu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, apabila ada skandal yang telah dibongkarkan dalam laporan rasmi PAC, banyak pihak cuba lepas tangan dan memetik nama orang lain.

“Selalu kena petik Pakatan Harapan (PH); bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad dan semualah.

“Padahal waktu LCS ini lulus tahun 2010, semua entiti ini tak ada pun dalam kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan dahulu dalam mengendalikan isu berkenaan.

“Kenapa apabila bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar suarakan masalah dan kerisauan tentang projek LCS, kerajaan kamu campak dan bakul sampahkan?

“Kapal LCS pertama yang patut siap pada tahun 2019 pun baru 36.8 peratus siap.

Tak masuk akal sebab waktu projek ni dibuat, lebih 8 tahun yang jadi kerajaan adalah kamu.

“Tiba-tiba salah kerajaan PH?” soalnya.