Kumbahan mentah mampu hasil gas butanol, etanol

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

CYBERJAYA - Kajian rintis di Loji Rawatan Kumbahan Cyberjaya mendapati setiap 15 liter kumbahan mentah mampu menghasilkan 15 peratus gas butanol dan 1.5 peratus etanol.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kajian rintis Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dan syarikat tempatan, EMB Business Sdn Bhd., di loji itu adalah selaras dengan usaha ke arah ekonomi kitaran dalam meneroka potensi sisa kumbahan sebagai satu sumber tenaga diperbaharui.

Beliau berkata, setiap 15 liter kumbahan mentah itu mampu menghasilkan 15 peratus gas butanol untuk kegunaan bahan bakar gas memasak serta sumber bahan api untuk dapur mudah alih manakala 1.5 peratus etanol untuk kegunaan perubatan dan bahan api untuk kenderaan.

Berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara IWK dan EMB bagi meneroka penghasilan etanol dan biogas bagi tujuan komersial, di sini, hari ini, Tuan Ibrahim berkata kerjasama itu mampu menukar sumber kumbahan yang dahulunya tiada nilai ekonomi namun kini mampu menjadi sumber baharu kepada negara.

"Ia juga mampu menyumbang kepada kerancakan ekonomi kitaran serta mengurangkan kebergantungan kepada sesuatu sumber sahaja," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, sektor pembentungan merupakan antara komponen kritikal dalam merealisasikan Transformasi Sektor Air 2040, dan lantaran itu, RM5.1 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 RMK11), disusuli dengan RM1.75 bilion dalam Rolling Plan Pertama dan Kedua di bawah RMK12 bagi melaksanakan projek pembentungan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, IWK dan EMB bercadang untuk meningkatkan pengeluaran etanol dan biogas secara komersial.

Beliau berkata, IWK sedang menganalisis kos untuk menghasilkan teknologi hijau tersebut dalam berskala besar dan menyasarkan untuk mengadakan satu loji kumbahan yang berupaya menghasilkan tenaga baharu itu secara komersial dalam tempoh dua hingga tiga tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: