Penganggur direman miliki dadah bernilai RM250,000

Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang penganggur melalui Ops Tapis Jumaat lalu.
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada seorang penganggur melalui Ops Tapis Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan berkaitan penemuan 650 gram dadah dianggarkan bernilai RM250,000.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan melalui Ops Tapis di Kampung Jubakar, Tumpat kira-kira jam 5.10 petang, Jumaat lalu.

Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut dalam raga motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa menemui plastik berwarna kehijauan.

"Kita dapati di dalam plastik itu terdapat plastik cerah berisi 125 botol plastik lut sinar berpenutup kuning yang mengandungi serbuk putih disyaki heroin," katanya pada sidang media berkaitan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Isnin.

Muhammad Zaki berkata, bagaimanapun lelaki itu tidak mempunyai rekod lampau tetapi positif morfin.

Menurut beliau, polis percaya masih ada individu lain yang terlibat dan usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan rangkaian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambah Muhamad Zaki, lelaki terbabit merupakan antara 108 suspek yang ditahan sepanjang Ops Tapis selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Katanya, pelbagai jenis dadah dirampas dan nilai keseluruhan dianggarkan RM279,115 dan boleh digunakan untuk seramai 9,114 penagih.

"Kesemua tahanan kini masih dalam siasatan," katanya.