900 peserta dijangka sertai kejohanan antarabangsa Johor Petanque 2022

On Jabbar (dua dari kiri) pada sidang akhbar Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 di Puteri Harbour pada Isnin.
On Jabbar (dua dari kiri) pada sidang akhbar Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 di Puteri Harbour pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini akan berlangsung pada 27 dan 28 Ogos ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar@Jaafar berkata, kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM28,000 itu akan berlangsung di Arena Petanque MBJB, Taman Tampoi Utama dan Arena Petanque Impian Emas, Taman Impian Emas, Johor Bahru.

Katanya, seramai 834 orang peserta dalam dan luar negara seperti Korea Selatan, Denmark, Australia, Nepal, Zambia, India dan Perancis telah mendaftar secara rasmi untuk menyertai kejohanan kali ini.

"Seramai 900 orang peserta disasarkan menyertai Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 sekali gus bakal mencatat sejarahnya tersendiri apabila akan direkodkan ke dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori penyertaan teramai untuk sukan petanque.

"Selain itu atlet kebangsaan yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA di Hanoi iaitu Muhammad Arif Kana dan Mohamed Syahzwan Mohamed Sani turut akan menyertai kejohanan kali ini.

"Turut serta ialah atlet kebangsaan yang memenangi perak dan gangsa pada kejohanan World Championship 2022 di Denmark, Nur Ain Syuhada Mohd. Asri dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Puteri Harbour, di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kejohanan kali ini cukup penting kerana mampu memberi pendedahan kepada kepada pelapis dan penggiat sukan petanque di negara ini.

"Sasaran utama bagi kejohanan ini adalah menarik penyertaan pasukan-pasukan negeri yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) XX 2022 serta penggiat sukan petanque dari dalam dan luar negara.

"Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque 2022 itu akan dimasukkan ke dalam kalendar Fédération Internationale de Pétanque et Jeu Provençal (FIPJP) sebagai kejohanan tahunan," katanya.