Letak amaran had kelajuan di setiap tiang jejambat

Bung Moktar ketika meninjau tapak kemalangan di jejambat Luyang berhampiran Plaza Lintas, Luyang, Kota Kinabalu.
Bung Moktar ketika meninjau tapak kemalangan di jejambat Luyang berhampiran Plaza Lintas, Luyang, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) meletakkan papan tanda amaran had kelajuan di setiap tiang jejambat bagi mengelak kejadian kemalangan yang membawa maut berulang.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kejadian nahas membabitkan tiga nyawa terkorban di kawasan jejambat Luyang berhampiran Plaza Lintas yang berlaku pada malam Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, keputusan mengenai punca kemalangan akan diperoleh dalam tempoh terdekat ini dan pemeriksaan di lokasi kejadian telah dilakukan olehnya sendiri.

"Saya berpuas hati dengan penjelasan daripada Pengarah JKR dan juga Setiausaha Kementerian bahawa jalan raya ini dibina berdasarkan prosedur dan juga kriteria yang ditetapkan oleh JKR dan audit keselamatan jalan raya dan sekarang jalan raya ini telah diaudit dengan tahap empat dan kita akan ke tahap lima.

"JKR sedang menilai punca-punca kemalangan dan Insya-ALLAH dalam satu atau dua hari ini kita akan dapat keputusannya dan kita akan maklumkan kepada orang ramai apa yang telah menyebabkan kemalangan berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kemalangan di Jalan Lintas, di sini, pada Isnin.

Ditanya lanjut mengenai had kelajuan di kawasan berkenaan, Bung Moktar berkata, had kelajuan memang sudah ditetapkan di kawasan iaitu 70 kilometer sejam.

"Jadi mana-mana kenderaan melebihi kelajuan itu mungkin boleh berhadapan dengan risiko yang tidak kita ingini. Bagaimanapun, mungkin saya akan meminta jabatan saya untuk meletakkan di semua tiang berkaitan had kelajuan bertulis tidak melebihi 70 kilometer.

"Mungkin baru orang ramai boleh faham sebab kalau tidak ia akan membahayakan lebih-lebih lagi apabila hujan lebat apabila kita memandu laju dan mengakibatkan berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan menyebabkan tiga beranak maut dan seorang kanak-kanak parah.