Tiga beranak mengaku tidak bersalah dera budak perempuan

Dua tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah.
Dua tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah.
A
A
A

KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Tiga beranak termasuk seorang bakal penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Isnin atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan bulan lepas.

Tertuduh yang merupakan pasangan suami isteri, R Guna Silan, 42, K Nagamah, 41, dan anak perempuannya G Nisha, 21, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Tamil secara bersama dihadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun telah mendera menggunakan rotan, dipukul, ditendang dan disimbah air panas.

Hal itu mengakibatkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan diseluruh bahagian badan iaitu di bahagian dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki, kepala dan muka.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 15 hingga 19 Julai lepas bertempat di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol.

Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seskyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah.
Tertuduh diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang minimum berikutan kesemua tertuduh memberikan kerjasama yang baik dengan polis selain salah seorang tertuduh bakal melanjutkan pengajian di sebuah IPTA pada September ini.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.